Mitos Asal Usul Keturunan Raja-Raja Melayu Serta
Persetiaan antara Rakyat dan Raja
KATA sahibul hikayat, ada sebuah negeri di tanah Andelas, Perlembang namanya, Demang Lebar Daun nama rajanya, asalnya daripada anak cucu Raja Suran, Muara Tatang nama sungainya. Adapun negeri Perlembang itu, Palembang yang ada sekarang inilah. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya. Di dalam sungai itu ada satu bukit yang bernama Bukit Siguntang, di hulunya Gunung Mahameru, di daratnya ada satu padang bernama padang Penjaringan. Maka ada dua orang perempuan berladang, Wan Empuk seorang namanya, dan Wan Malini seorang namanya; dan keduanya itu berhuma di Bukit Siguntang itu terlalu luas humanya itu, syahadan terlalu jadi padinya, tiada dapat dikatakan; telah hampirlah masak padi itu.
Sebermula, maka tersebutlah perkataan anak Raja Suran yang tiga bersaudara yang dipeliharakan oleh raja Aftabul Ard. Setelah besarlah, terlalu baik parasnya anak raja ketiga itu. Maka yang tua dinamai oleh Raja Aftabul Ard Nila Pahlawan, dan yang tengah dinamai Kerisyna Pandita, dan yang bongsunya dinamai Nila UItama. Maka ketiga anak raja itu bertanyakan ayahnya kepada nenda baginda Raja Aftabul Ard. Maka sahut Raja Aftabul Ard, “Adalah akan ayahmu itu anak Raja Iskandar Zulkarnain, nisab Sulaiman alaihis salam, pancar Nusyirwan Adil, raja Masyrik dan Maghrib. Maka adalah pesan ayahmu, apabila tuan hamba besar disuruhnya hantarkan ke dunia; sekarang kembali-lah tuan ke dunia.”
Setelah ketiga anak raja itu mendengar kata nenda baginda itu, terIalu sukacitanya, seraya katanya, ”Berilah kami (ketiga) bersaudara ini jalan ke dunia itu.”
Maka oleh Raja Aftabul Ard ketiga cunda baginda itu diberinya memakai alat kerajaan dengan lengkapnya pakaian anak raja-raja yang bertatahkan ratna mutu manikam serta dikenakannya mahkota itu ketiganya. Setelah itu baginda pun bermohonlah kepada nenda dan bonda baginda, maka dipeluk dicium baginda, serta ditangisinya. Maka oleh Raja Aftabul Ard diberinya seekor lembu yang amat putih, seperti perak yang terupam warnanya. Maka ketiga anak raja itu pun naik ke atas lembu itu, lalu berjalanlah keluar. Dengan takdir Allah subhanahu wa taala yang Maha Mulia dan Maha Kuasa, teruslah ke Bukit Siguntang itu waktu malam.
Maka pada malam itu dipandang oleh Wan Empuk dan Wan Malini dari rumahnya, di atas Bukit Siguntang itu bernyala-nyala seperti api. Maka kata Wan Empuk dan Wan Malini, ”Cahaya apa gerangan bernyala-nyala itu? Takut pula beta melihat dia.”
Maka kata Wan Malini, ”Jangan kita ingar-ingar, kalau gemala naga besar gerangan itu.”
Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun diamlah dengan takutnya, lalu keduanya tidur. Telah hari siang, maka Wan Empuk dan Wan Malini pun bangun keduanya daripada tidur, lalu basuh muka.
Maka kata Wan Malini, "Marilah kita melihat yang bernyala-nyala semalam itu.'
Maka keduanya naik ke atas Bukit Siguntang itu. Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas dan berdaunkan perak dan batangnya tembaga suasa. Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun hairan melihat hal yang demikian itu, maka katanya, ”lnilah yang kita lihat semalam itu.”
Maka ia berjalan pula ke Bukit Siguntang itu, maka dilihatnya tanah negara bukit itu menjadi seperti warna emas. Pada suatu ceritera, datang sekarang pun tanah negara bukit itu seperti warna emas juga rupanya. Maka dilihat oleh Wan Empuk dan Wan Malini di atas tanah yang menjadi emas itu tiga orang laki-laki muda, baik paras; yang Seorang itu memakai pakaian kerajaan, kenderaannya lembu putih seperti perak rupanya, dan yang dua orang itu berdiri di sisinya, seorang memegang pedang kerajaan, seorang memegang lembing. Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun hairan tercengang-cengang, svahadan dengan takjubnya ia melihat rupa orang muda itu terlalu amat baik parasnya dan sikapnya, dan pakaiannya pun terlalu indah-indah. Maka ia fikir pada hatinya, ”Sebab orang muda tiga orang inilah gerangan maka padiku berbuahkan emas dan berdaunkan perak, dan tanah bukit ini pun menjadi seperti warna emas ini.
Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun bertanya kepada orang muda tiga orang itu, "Siapakah tuan hamba ini, dan dari mana datang tuan hamba ini? Dan anak jin atau anak perikah tuan hamba ini? Kerana berapa lama sudah kami di sini tiada kami melihat seorang pun manusia datang ke mari ini; baharulah pada hari ini kami melihat tuan hamba ke mari ini."
Maka sahut seorang dalam tiga itu, "Adapun nama kami dan bangsa kami bukannya daripada bangsa jin atau peri. Bahawa kami ini bangsa manusia; asal kami daripada anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain, nisab kami daripada Raja Nusyirwan Adil, raja Masyrik dan Maghrib, dan pancar kami daripada Raja Sulaiman alaihis salam, dan nama kami seorang ini Nila Pahlawan, dan yang seorang ini Kerisyna Pandita, dan yang seorang Nila Utama; dan pedang kami ini Corek Mandang Kini namanya, dan lembing kami ini Lembuara namanya, yang satu ini cap kayu Kempa namanya, dan apabila memberi surat pada raja-raja cap inilah dicapkan."
Maka kata Wan Empuk dan Wan Malini, “Jikalau tuan hamba daripada anak cucu Raja Iskandar, apa sebabnya maka tuan hamba ke mari?”
Maka oleh Nila Pahlawan pun berceteralah seperti ceritera ayahnya kepada Raja Aftabul Ard segala hikayat Raja Iskandar beristerikan anak Raja Kida Hindi, dan peri Raja Suran masuk ke dalam laut, dan peri duduk dengan bondanya beranakkan baginda ketiga bersaudara itu, semuanya dihikayatkannya pada Wan Empuk dan Wan Malini.
Maka kata Wan Empuk dan Wan Malini, "Apa alamatnya seperti kata tuan hamba ini?"
Maka sahut mereka, "Mahkota inilah alamatnya, tanda hamba anak cucu Raja Iskandar. Hai Empuk, jika tuan hamba tiada percaya akan kata hamba ini, itulah tandanya oleh hamba jatuh ke mari maka padi Empuk berbuahkan emas, berdaunkan perak, berbatangkan tembaga suasa, dan tanah negara bukit ini menjadi seperti warna emas."
Maka Wan Empuk dan Wan Malini pun percayalah akan kata orang muda itu, maka ia pun terlalu sukacita. Maka anak raja itu pun kembali ke rumahnya. Maka baginda pun naiklah ke atas kenderaan baginda lembu putih itu. Maka padinya pun dituainya oleh Wan Empuk dan Wan Malini. Maka kedua mereka itu pun kayalah sebab mendapat anak raja itu, dinamai oleh Wan Empuk dan Wan Malin Sang Sapurba.
Maka dengan takdir Allah taala lembu kenaikan baginda itu pun muntahkan buih, maka keluarlah daripada buih itu seorang manusia laki-laki dinamai Bat dan destarnya terlalu besar. Maka Bat berdiri memuji Sang Sapurba, maka bunyi pujinya itu serba jenis kata yang mulia-mulia.
Syahadan, maka raja itu pun digelar oleh Bat itu sang Sapurba Taramberi Teribuana. Adapun Bat ituiah daripada anak cucunya asal orang yang membaca ciri dahulu kala. Maka Nila Pahlawan dan Kerisvna Pandita pun dikahwinkan Bat dengan Wan Empuk dan Wan Malini; maka daripada anak cucu merekalah digelar oleh Sang. Sapurba, yang laki-laki dinamai baginda Awang, dan yang perempuan dipanggil baginda Dara; itulah asalnya perawangan dan perdaraan.
Telah terdengarlah pada Demang Lebar Daun bahawa Wan Empuk dan Wan Malini mendapat anak raja turun dari keinderaan itu, maka Demang Lebar Daun pun datang menghadap membawa persembahan terlalu banyak aneka yang indah-indah. Maka sangat dipermulia oleh Sang Sapurba, dan dianugerahi persalin. Telah masyhurlah pada segala negeri bahawa anak raja anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain turun ke Bukit Siguntang Mahameru, maka segala raja-raja daripada segala negeri pun datanglah menghadap raja itu, sekaliannya dengan persembahannya. Maka Oleh Sang Sapurba segala raja-raja yang datang itu semuanya diberi persalin. Setelah itu maka baginda pun hendak beristeri; barang di mana raja-raja yang ada beranak perempuan yang baik paras diambil baginda akan isteri. Apabila beradu dengan baginda pada malam, telah pagi hari dilihatnya puteri itu kedal tulah sebab dijamah baginda itu, maka ditinggalkan baginda; dengan demikian kurang esa empat puluh yang sudah diperisteri baginda, semua kedal juga.
Sebermula, dihikayatkan oleh orang yang empunya hikayat, adapun negeri Palembang itu Palembang yang ada sekarang inilah; dahulu kala negeri itu terlalu besar, dan akan raja Palembang yang bernama Demang Lebar Daun itu, ada beranak seorang perempuan terlalu baik parasnya, tiada berbanding parasnya pada zaman itu, Wan Sendari namanya. Maka dipersembahkan oleh Wan Empuk dan Wan Malini pada Sang Sapurba, Demang Lebar Daun ada beranak seorang perempuan; maka disuruh pinang oleh Sang Sapurba. Maka sembah Demang Lebar Daun, "Jikalau anak patik tuanku peristeri, nescaya kedal ia; tetapi jikalau tuanku mahu berwaadat dengan patik, maka patik persembahkan anak patik ke bawah Duli Yang Dipertuan."
Adapun Demang Lebar Daunlah yang pertama punya bahasa 'Yang Dipertuan' dan 'patik'
Maka titah Sang Sapurba, "Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?" Maka sembah Demang Lebar Daun, “Adapun tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau berlaku pada hukum syarak.”
Maka titah Sang Sapurba, “Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.”
Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, tuanku?”
Maka titah Sang Sapurba, “Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.”
Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah, tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.”
Maka titah Sang Sapurba, “Baiklah, kabulkanlah hamba akan waadat itu.”
Maka baginda pun bersumpah-sumpah barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wa taala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa. Syahadan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wa taala tiada pernah derhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.
Setelah sudah berwadaat berteguh-teguh janji, maka tuan puteri anak Demang Lebar Daun yang bernama Wan Sendari itu pun dipersembahkan oleh Demang Lebar Daun ke bawah Duli Sapurba. Maka dibawanyalah kembali ke negerinya. Maka Sang Sapurba pun kahwinlah dengan Wan Sendari. Setelah malam, maka baginda pun beradulah dengan tuan puteri; setelah hari siang maka dilihat oleh baginda akan tuan puteri tiada kedal, maka terlalulah sukacita baginda. Maka baginda menyuruh memberitahu Demang Lebar Daun. Maka Demang Lebar Daun pun segera datang, maka dilihatnya sungguh anaknya selamat, suatu pun tiada merbahayanya; maka ia pun sukacita.
Maka sembah Demang Lebar Daun ke bawah Duli Sang Sapurba, “Baiklah Duli Yang Dipertuan berangkat ke barung-barung patik.”
Maka titah baginda, “Baiklah.”
Maka baginda laki isteri pun berangkatlah ke Palembang.
Msks Demang Lebar Daun pun berlengkap hendak memandikan Sang Sapurba. Makai a menyuruh membuat panca perada tujuh pangkat, lima kemuncaknya tertalu indah-indah perbuatannya, Bat menukanginya. Setelah sudah, maka Demang Lebar Daun pun memulai pekerjaan berjaga-jaga empat puluh hari empat puluh malam makan minum bersuka-sukaan, dengan segala raja-r4aja, para menteri, sida-sida, bentara, hulubalang, dan segala rakyat sekalian. Maka segala bunyi-bunyian, tiada sangka bunyi lagi. Maka beberapa kerbau, lembu, kambing, biri-biri disembelih orang, dan kerak nasi bertimbun-timbun seperti busut, air didih bagai lautan, kepala lembu kerbau seperti pulau.
Setelah genaplah empat puluh hari empat puluh malam maka air mandi pun diarak oranglah dengan segala bunyi-bunyian, dan bekas air mandi itu sekaliannya emas berpermata. Maka Sang Sapurba laki isteri pun diarak tujuh kali berkeliling panca persada itu. Maka baginda laki isteri pun mandilah di seri panca persada itu, dimandikan oleh Bat. Setelah sudah mandi, maka Sang Sapurba pun bersalin kain selengkap tubuh, lalu memakai pakaian darapati darmani namanya, dan Tuan Puteri Wan Sendari pun memakai kain baru daimani; kedua baginda memakai dengan selengkap pakaian kerajaan. Maka kedua laki isteri pun düdük di atas peterana yang keemasan di atas singgahsana kerajaan. Maka gendang nobat pun dipalu oranglah. Setelah sudah tabal, maka segala para menteri hulubalang sekaliannya menjunjung duli baginda. Telah itu nasi santapan pun diangkat orang; maka baginda dua laki isteri pun santaplah. Setelah sudah santap, maka Bat membubuh pancara di telinga raja kedua laki isteri. Setelah itu maka Sang Sapurbalah jadi raja di Palembang itu, maka Demang Lebar Daun pun turun menjadi mangkubumi.
Sebermula, pada suatu hari hanyut buih dari hulu Sungai Palembang itu terlalu besar. Maka dilihat orang di dalam buih itu seorang budak perempuan, terlalu baik parasnya. Maka dipersembahkan orang ke Bawah Duli Sang Sapurba. Maka disuruh baginda ambil; maka dinamai baginda Puteri Tanjung Buih, diangkat anak oleh baginda, terlalu sangat dikasihi baginda. Telah berapa lamanya Sang Sapurba duduk dengan Wan Sendari itu, maka baginda pun beranak empat orang, dua orang perempuan baik-baik parasnya, Puteri Seri Dewi seorang namanya seorang lagi Puteri Cendera Dewi namanya, dua orang laki-laki, Sang Maniaka seorang namanya, seorang lagi Sang Nila Utama namanya.
Hatta, masyhurlah pada segala negeri di dalam dunia ini bahawa anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain yang daripada bangsa Hindustan turun ke Bukit Siguntang Mahameru, sekarang ada di negeri Palembang.