Batu Belah Batu Betangkup

Written on 01/09/2025
effizanwahid


Batu Belah Batu Bertangkup 

Penyusun: A.Samad Ahmad

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1963

Ringkasan Cerita

SI KANTAN dan Si Tanjung, sepasang suami isteri hidup ibarat ayam kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mereka tinggal di sebuah kampung berhampiran dengan Bukit Berapit dan kira-kira satu batu dari Pangkalan Kampar. Untuk menyara hidup, mereka mengambil upah seperti mencucuk atap, mengerjakan sawah, membuat tikar dan lain-lain kerja yang mendatangkan hasil. Akhirnya mereka dapat memiliki sebidang tanah dan sebuah rumah.

Suatu hari sewaktu mereka memetik daun cemperai untuk dibuat sayur, mereka terdengar bunyi kuat yang menyeramkan. Mereka menghampiri tempat yang berbunyi itu dan didapati sebuah gua yang luas dan menakutkan. Si Kantan memberitahu Si Tanjung bahawa itulah Batu Belah Batu Bertangkup seperti yang pernah diceritakan Oleh datuknya



Beberapa waktu kemudian mereka beroleh seorang anak perempuan dan diberi nama Si Bunga Melur dan lima tahun kemudian memperolehi pula seorang anak lelaki yang diberi nama Si Pekan. Si Kantan, suami yang disayang dan ayah yang diharapkan itu kemudian telah meninggal dunia. Untuk beberapa ketika Si Tanjung menjadi tidak tentu arah kerana terlalu sedih.

Pada suatu hari ia pergi mengail dan mendapat seekor ikan tembakul. Disuruhnya Melur merebus telur ikan tembakul itu sementara. ia ke perigi. Melur memberi sebahagian daripada telur itu kepada Si Pekan. Apabila telur itu habis, Si Pekan hendakkan telur bahagian ibunya pula. Kerana ia menangis, maka Melur pun memberikan semua telur itu kepada Si Pekan. Melur Inengambil telur ayam untuk lauk ibunya menggantikan telur tembakul.



Tanjung sangat terkilan hati dan merasa kempunan kerana tidak dapat makan telur tembakul. Kerana itu dia mengambil keputusan untuk menyerahkan diri pada Batu Belah Batu Bertangkup. Walaupun Si Melur meminta maaf, dia terus juga meninggalkan anak-anaknya Yang masih kecil itu. Sepanjang jalan Melur dan Pekan menangis sambil mengejar ibunya. Melur berhenti di tengah jalan kerana terlalu letih dan apabila ia tiba di tempat Batu Belah Batu Bertangkup itu didapati ibunya sudah dibaham Oleh Batu Belah. Melihatkan hal tersebut Si Melur lalu tidak sedarkan diri.



    Semasa Melur tidak sedarkan diri, ia bermimpikan seorang tua Yang menasihatkannya supaya jangan kembali ke rumahnya. la disuruh mengambil tujuh helai rambut ibunya yang terjulur dan membawa telur ayam yang mahu digantikan untuk lauk ibunya. Orang tua dalam mimpi itu juga menyuruh Melur terus berjalan mengikut kaki dan membakar sehelai rambut ibunya setiap kali mahu tidur. Melur pun mendukung adiknya serta berjalan mengikut kaki, meredah hutan, belukar dan semak samun. Tempat persinggahannya yang pertama ialah di rumah datuk penghulu. la menceritakan segala yang telah berlaku dan datuk penghulu amat simpati dengan penderitaan Si Melur lalu menyuruh Si Melur tinggal saja di rumahnya. Tetapi sewaktu Si Melur tidur ia telah bermimpi berjumpa dengan orang tua yang ditemuinya dalam mimpinya dahulu dan orang tua itu menyuruh Melur meneruskan perjalanan hingga ke kampung yang ketiga.



Dalam perjalanan seterusnya, Melur berjumpa dengan tuk batin di Kampung Bukit Perah Lantai. Tuk batin melayannya dengan baik. Di waktu malam, Si Pekan menangis tidak mahu berhenti walaupun telah dijampi oleh tuk batin. Akhirnya tuk batin mengalungkan sekeping besi kuning di lehernya. Esoknya Si Melur meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai ke Kampung Bukit Kapar.


Dalam kampung itu ia menumpang bermalam di rumah suatu keluarga petani. Esoknya, Melur mahu meneruskan perjalanan tetapi kerana dilihat Melur terlalu letih maka petani suami isteri memujuk Melur supaya tinggal dahulu di rumahnya. Melur pun tinggal di situ beberapa lama. Pak tani banyak bercerita kepada Melur termasuk tentang Raja Jayeng Sakti dan tentang kegemarannya menyabung ayam.

Melur meneruskan perjalanannya. Tempat yang mahu dituju ialah Kampung Kerayung Tamarulan. Di sana mereka bertemu dengan nenek kebayan yang waktu itu sedang mencari kayu api.

Nenek kabayan terlalu gembira dengan pertemuan yang tidak diduga itu. Nenek kebayan meminta supaya Melur dan Pekan terus tinggal bersamanya dan dia juga sangat simpati dengan penderitaan yang telah dilalui oleh dua beradik itu. Melur dan Pekan bersetuju untuk terus tinggal bersama dengan nenek kebayan itu terutama apabila mengetahui kampung itu bernama Kerayung Tamarulan.



Seperti yang telah lalu, orang tua yang menjelma dalam mimpi itu datang semula menemui Si Melur. Kali ini orang tua itu menyuruh Melur meletakkan telur yang dibawanya dahulu di dalam sangkar ayam di belakang rumah. Katanya, dalam masa tujuh hari lagi telur itu akan menetas dan ia menyuruh Si Melur menjaga ayam itu dengan sebaik-baiknya. Si Pekan pula dikatakan suatu hari akan menjadi jaguh persabungan ayam. Si Melur meletakkan besi kuning yang terkalung di leher Si Pekan pada taji ayam apabila ayam itu mahu dibawa bersabung. Melur mengikut segala yang dikatakan Oleh orang tua di dalam mimpi itu.



Beberapa lama kemudian keduanya sudah meningkat remaja. Melur sudah pandai menggubah bunga dan menyulam untuk dijual oleh neneknya dan Pekan pula sudah mula meminati persabungan ayam. Selalu dia berkumpul dengan teman-teman sebayanya untuk menyaksikan sabung ayam.

Suatu hari, Pekan mahu membawa ayamnya bersabung. Dia meminta kebenaran daripada kakaknya untuk membawa ayamnya. Melur mengizinkan dan menasihatkan Pekan supaya menjaga ayamnya dan meletakkan besi kuning yang tergantung di lehernya itu pada taji ayamnya. Ayamnya diberi nama Si Jalak Bukit Berapit.

Dalam semua persabungan, Si Jalak tidak pernah menemui kegagalan. Hal ini telah tersebar luas ke merata kampung dan terdengar juga oleh Itam Bani — seorang jaguh sabung ayam yang terkenal. Suatu hari diadakan persabungan antara ayam Itam Bani dengan ayam Si Pekan. Jalak Bukit Berapit telah mencapai kemenangan. Tambah mashyur nama Si Jalak dan Si Pekan. Hal ini didengar oleh raja - Ratu Jayeng Indera Sakti. Raja ini kemudian mempersilakan Pekan membawa Si Jalak untuk bersabung dengan ayamnya.



Sebelum pergi ke istana, banyak pesanan yang diberikan oleh Melur, antaranya supaya Pekan berkelakuan sopan di hadapan raja, Melur juga menyuruh Pekan memperhambakan diri kepada raja kiranya ayamnya kalah dan hanya meminta barang makanan dan pakaian kiranya ayamnya menang.

Dalam persabungan dengan ayam raja ini juga Si Jalak telah mencapai kemenangan. Raja pun menitahkan hulubalangnya menghantar barang makanan dan pakaian ke rumah pekan, Waktu inilah hulubalang terpandang pada Melur yang cantik. Pulang ke istana, diceritakan kecantikan kakak Pekan itu kepada raja. Raja berserta orang-orang istana kemudian datang ke rumah Pekan dan meminta Melur datang ke istana.

Oleh kerana kecantikan Melur dan tingkah laku yang baik, raja telah tertawan dan bermaksud menjadikan Melur permaisurinya. Pesta perkahwinan dan pertabalan permaisuri diadakan dengan meriah.



Permaisuri selalu termenung dan hal ini disedari oleh raja. Permaisuri kemudian menceritakan segala yang telah berlaku dan kesedihan hatinya bila mengingati hal yang lalu. Raja kemudian menitahkan hulubalang supaya mengiringinya memusnahkan Batu Belah Batu Bertangkup.

Waktu ketibaan raja ke tempat itu didapati gua tersebut sedang terbuka pintunya dan mengeluarkan bunyi yang menggerunkan. Raja memanah tepat pada mulut gua Batu Belah dan dikatakan sejak dari hari itu gua Batu Belah Batu Bertangkup itu tidak berbunyi dan bergerak lagi.