Bawang Merah Bawang Putih

Written on 02/14/2025
effizanwahid

Bawang Putih Bawang Merah

Penyusun: Rubaidin Siwar

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 1980

Ringkasan Cerita

PAK ALI isterinya Mak Labu tinggal di sebuah pondok di pinggir hutan. Kerja hariannya ialah berladang. Pak Ali sangat sayangkan isterinya, ditambah pula isterinya itu rajin bekerja dan tidak pernah membantah segala yang diarahkan oleh Pak Ali. Suatu malam, Pak Ali termenung kerana mengingati perkahwinannya yang telah sekian lama tidak mendapat anak. Kesusahannya itu diketahui oleh Mak Labu dan dengan ikhlas hati ia memberi kebenaran kepada Pak Ali untuk beristeri lagi. 

            Pak Ali pun berkahwin dengan seorang perempuan yang dipanggil Kundur, lebih muda daripada Mak Labu tetapi tidaklah secantik Mak Labu. Pak Ali membawa Mak Kundur tinggal serumah dengan Mak Labu. Mak Kundur, sebagai isteri muda agak sombong perangainya hingga pada suatu hari berlaku pertengkaran antara Mak Kundur dengan Mak Labu. Pak Ali tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi menasihati kedua-duanya supaya terus bersabar. Mak Labu berjanji akan cuba untuk terus bersabar sekiranya berlaku pertengkaran. Tetapi Mak Kundur terus menunjukkan sikap keras kepala dan mengatakan Mak Labu mandul. 




Mak Labu adalah seorang yang benar-benar baik hati kerana setiap kali bergaduh, dia datang pada Mak Kundur meminta maaf walaupun ia adalah isteri tua yang patut dihormati. 

            Setahun selepas Pak Ali berkahwin dengan Mak Kundur, Mak Labu telah mengandung dan sebulan kemudian Mak Kundur pula yang mengandung. Pak Ali sangat suka hati dan menjaga kedua-dua isterinya dengan hati-hati dan penuh kasih sayang. Mak Labu kemudian melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Bawang Merah dan Mak Kundur juga melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Bawang Putih. Kedua-dua bayi perempuan itu kelihatan sangat cantik dan bila dewasa memang cantik dan menarik. Cuma kelakuan kedua-duanya berbeza iaitu Bawang Putih lebih keras hati dan tidak mahu mengalah. Ibunya pula sangat memanjakannya. 

            Suatu hari, Pak Ali teringin hendak makan ikan sembilang. Dia pun memanggil kedua-dua orang anaknya. Bawang Merah mahu mengikut dan menolong Pak Ali tetapi Bawang Putih lebih suka duduk di rumah dan bermain-main. Akhirnya Bawang Merah mengikut ayahnya. Terlalu banyak ikan sembilang yang diperolehi dan Bawang Merah mengajak ayahnya pulang tetapi ayahnya mahu memancing lagi. Akhirnya Pak Ali mendapat seekor ikan sembilang yang lebih besar daripada ikan-ikan yang terdahulu. Malangnya, sebelum sempat Pak Ali melucutkan mata kailnya, ikan itu menyengat tangan Pak Ali hingga berdarah. 

Dengan rasa yang hiba dan bingung, Bawang Merah membawa ayahnya pulang. Bisa ikan itu sedikit demi sedikit meresap ke dalam badan Pak Ali. Semakin lama Pak Ali semakin tenat. Pak Ali menyuruh Bawang Merah dan Bawang Putih memanggil Pawang Jidun. Bawang Putih tidak mahu pergi lalu Bawang Merah pergi seorang diri. Pawang Jidun rupanya tidak dapat menyembuhkan bisa yang telah meresap ke seluruh badan Pak Ali. Akhirnya Pak Ali menghembuskan nafasnya yang terakhir. 



Bermulalah hidup mereka tanpa Pak Ali. Mak Kundur tidak mahu bekerjasama. Dia meminta supaya Mak Labu pulang dari bendang, didapati Mak Kundur belum membuat sebarang kerja dan hanya tidur di bilik. Mak Labu menjadi marah dan berlakulah pertengkaran dan pergaduhan. 

            Sebenarnya Mak Kundur tidak begitu kuat dan kerana itu ia sering kalah dan ia bertekad mahu membalas dendam. Ia mencari jalan untuk memusnahkan Mak Labu. Pada suatu hari waktu Mak Labu mengambil air di perigi, dipukul dan ditolaknya Mak Labu ke dalam perigi itu. 

            Bawang Merah merasa agak hairan kerana hari itu Mak Kundur bersikap baik dan lembut pertuturannya. Apabila menjelang malam, Bawang Merah susah hati kerana ibunya belum pulang lalu bertanya pada Mak Kundur. Mak Kundur hanya mengatakan tidak tahu. Apabila Bawang Merah seperti tidak percayakan kata-katanya itu, Mak Kundur memukul Bawang Merah hingga Bawang Merah tidak sedarkan diri. Kerana ketakutan, Mak Kundur bersama Bawang Putih melarikan diri ke kampung sebelah. 



Apabila Bawang Merah tersedar, ia pun pergi ke perigi dan ia terjumpa sepotong kayu yang ada kesan darah. Ia menyangkan ibunya terjatuh ke dalam telaga lalu dipanggilnya. Tetapi yang muncul hanya seekor ikan yang besar melibaskan ekornya dan kemudian menghilang. 

            Bawang Merah pulang ke rumah dan merasa takut tinggal keseorangan. Malam itu Bawang Merah tidur sendirian dan ia bermimpi berjumpa ibunya. Ibunya memberitahu tentang perbuatan Mak Kundur. Apabila ibunya menghilang, menjelma pula seorang tua dan memberitahu bahawa ibunya telah menjelma menjadi seekor ikan kaloi. Orang tua itu juga menyuruh Bawang Merah memberi ikan itu makan nasi dan sayur keladi setiap pagi. 

            Mak Kundur dan Bawang Putih pulang ke rumah ke rumah dengan sangkaan bahawa Bawang Merah telah mati. Mereka terkejut bila didapati Bawang Merah masih hidup dan pulang dari perigi. Mereka curiga kalau-kalau Bawang Merah bertemu dengan mayat ibunya di dalam perigi. 

            Lama-kelamaan Mak Kundur dan Bawang Putih mengetahui hal Bawang Merah yang setiap pagi memberi makan ikan kaloi. Lalu sewaktu Bawang Merah ke ladang, ditangkapnya ikan kaloi itu, dibuat gulai dan dihidangkan pada Bawang Merah.

            Esoknya, puas Bawang Merah memanggil ibunya tetapi tidak juga timbul lalu Mak Kundur mengatakan bahawa ikan kaloi itu telah dimasaknya. Mendengarkan hal itu, Bawang Merah pun muntah. Waktu ia terlena ia bermimpi seorang tua menyuruhnya supaya memungut tulang ikan kaloi itu dan ditanam di belakang rumah. Bawang Merah melakukan apa yang disuruh dan apabila tulang yang terlalu kecil tidak dapat dikutip, sekumpulan semut menolong mengumpulkannya. 



Di tempat Bawang Merah menanam tulang ikan itu tumbuhlah pokok beringin yang semakin hari semakin besar dan rendang. Di bawah pokok beringin itu Bawang Merah bermain-main dan berbuai tanpa diketahui oleh Mak Kundur dan Bawang Putih.

            Pada suatu hari, Datuk Hulubalang dan Datuk Panglima tersua dengan Bawang Merah. Mereka tertarik dengan kecantikan Bawang Merah dan tertawan pada kemerduan suaranya.  Mereka juga hairan kerana buaian itu akan berayun laju setiap kali Bawang Merah bergurindam. Apabila diketahui ada orang mengintai perbuatannya, Bawang Merah dengan rasa cemas pulang ke rumah. Hulubalang mengikutinya dan akhirnya bertemu dengan rumah Bawang Merah. 

            Pulang ke istana, mereka memberitahu raja. Raja mahu melihat dan mendengar suara perempuan yang diceritakan. Tiba di rumah Bawang Merah, didapati Bawang Merah tiada. Mak Kundur pun mengakui yang bergurindam itu adalah Bawang Putih dan raja mengajak mereka kerana mahu mendengar dan melihat buaian yang berayun sendiri. Bila Bawang Putih bergurindam, (dengan rasa takut) didapati buaian itu tidak berayun. Raja sangat murka lalu mengata hulubalang berbohong. Akhirnya hulubalang tersebut mengatakan bahawa bukan perempuan tersebut dimaksudkan. 

            Oleh kerana takut, Mak Kundur menceritakan tentang Bawang Merah. Hulubalang mengatakan perempuan itulah yang sebenarnya dilihat dan bukan Bawang Putih. Raja pun menitahkan Bawang Merah naik ke buai dan bergurindam. Raja hairan dengan kemerduan suara Bawang Merah dan hairan melihat buaian itu berayun tanpa sesiapa menggerakkannya. Raja sangat berkenan dan meminta Bawang Merah mengikutinya ke istana. Tetapi Bawang Merah hanya akan mengikut raja kiranya Bawang Putih dan Mak Kundur dibawa bersama. Akhirnya raja bersetuju. 



Bawang Merah telah menjadi permaisuri. Oleh kerana kelakuan jahat dan dengki Mak Kundur, ia tidak dibenarkan tinggal di istana tetapi hanya berhampiran dengan istana. Atas permintaan permaisuri, mereka kemudiannya dibenarkan datang ke istana. 

            Bawang Merah tidak pernah menyangka bahawa Mak Kundur masih menyimpan dendam. Oleh kerana itu ia bersikap ramah-tamah dan baik hati kepada mereka berdua. Segala nasihat yang diberikan oleh Mak Kundur diikutinya. Mula-mula Mak Kundur menyuruh permaisuri bertanya tentang bagaimana sayangnya raja kepadanya. Mulanya raja murka tetapi akhirnya baginda menyatakan sayang sungguh-sungguh pada permaisuri. 

            Untuk kali keduanya Mak Kundur menyuruh permaisuri menaburkan miang rebung atas tempat tidur raja dengan mengatakan miang rebung yang dibawanya itu telah dijampi dan mempunyai banyak khasiat. Pada mulanya raja sangat murka tetapi kemudian baginda memaafkan permaisuri. 

            Kemudian Mak Kundur datang dan kali ini membawa sebilah kapak. Ia menyuruh permaisuri menggantungkan kapak itu di depan pintu bilik. Apabila raja mahu masuk ke dalam bilik, disuruhnya permaisuri mengayun kapak itu supaya terkena raja. Perbuatan itu dimurkai oleh raja dan raja menjatuhkan hukuman bunuh kepada permaisuri kerana berniat membunuhnya. Hulubalang dan dayang kemudian menerangkan hal yang sebenarnya. Raja membatalkan hukuman yang telah dijatuhkan dan baginda menjatuhkan hukuman bunuh kepada Mak Kundur. 

            Mak Kundur meminta ampun dan belas kasihan dengan janji tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu. Raja tidak dapat memaafkan lagi kesalahan Mak Kundur, malahan menjatuhkan hukuman bunuh dan disebat dengan ekor pari terlebih dahulu. 

            Permaisuri sangat kasihan melihat kesakitan yang ditanggung oleh Mak Kundur. Perrmaisuri pun memohon kepada raja supaya tidak menjatuhkan hukuman bunuh kepada ibu tirinya itu. Mulanya raja menolak tetapi setelah permaisuri bersungguh-sungguh merayu, baginda bersetuju tetapi Mak Kundur dan Bawang Putih tidak dibenarkan tinggal dalam negeri itu lagi.